DUBAI: Penerbangan komersial mula melencongkan laluan mereka ke barat Iran susulan sebuah agensi berita Iran mendakwa terdapat 'letupan' kedengaran di bandar Isfahan.

Insiden itu berlaku ketika ketegangan kekal tinggi di Asia Barat selepas serangan peluru berpandu dan dron Iran terhadap Israel selepas rejim itu menyerang kedutaannya di Damsyik, Syria.

Syarikat penerbangan Emirates dan FlyDubai yang berpangkalan di Dubai mula melencong pesawat mereka kira-kira 4.30 pagi waktu tempatan.

Kedua-dua syarikat itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang penjelasan berhubung tindakan tersebut walaupun amaran tempatan kepada penerbang mencadangkan ruang udara mungkin telah ditutup.

Setakat ini sekurang-kurangnya lapan penerbangan telah dilencongkan dari ruang udara Iran, memetik laporan CNN.

Agensi berita FARS melaporkan bunyi letupan di Isfahan berhampiran lapangan terbang antarabangsanya.

Bagaimanapun ia tidak memberikan penjelasan untuk letupan itu.

Walau bagaimanapun, Isfahan adalah rumah kepada pangkalan udara utama untuk tentera Iran, serta tapak yang berkaitan dengan program nuklearnya.

Kerajaan Iran tidak memberikan sebarang komen segera.

Isfahan terletak kira-kira 350 kilometer (215 batu) di selatan ibu negara Iran, Tehran.